Pada 30 Ogos sehingga 1
September 2016 yang lalu, penulis bersama dua lagi rakan Hoshizora Astronomy
Club (HAC) telah melakukan lawatan lokasi ke Kuala Nerang, Kedah dan Tasik Pedu
Kedah. Tujuan lawatan ini ialah untuk mengenalpasti potensi kawasan untuk dijadikan
tempat cerapan langit kelab HAC di masa akan datang. Terdapat dua lokasi
pilihan iaitu Agrofarm Kampung Semeliang dan Tasik Pedu. Lokasi di Tasik Pedu
adalah yang terbaik dari segi bebas pencemaran cahaya.
Bulatan besar menunjukkan lokasi Tasik Pedu dan bulatan kecil lokasi Agrofarm |
Antara sebab kami
memilih lokasi-lokasi ini ialah:
1. Antara lokasi yang
terbaik di koridor utara semenanjung yang bebas cahaya.
2. Kemudahan penginapan
yang bersih, cantik dan selamat.
3. Mempunyai waris yang
tinggal berdekatan jika berlaku sebarang kecemasan.
4. Potensi iklim yang
panas di utara semenanjung mengurangkan kadar kemunculan awan.
5. Banyak aktiviti
rekreasi di Tasik Pedu.
Perjalanan kami bermula
pada 29 Ogos malam, kami bertolak pada jam 9.15 pm dari TBS dengan menaiki bas
Transnasional. Kami menuju ke Butterworth untuk bertemu dengan rakan kami yang
akan mengambil kami dengan menaiki kereta. Perjalanan selama 5 jam merentasi
lebuhraya utara-selatan itu selamat sampai ke destinasi pada jam 2.30 am.
Selepas bertemu dengan
rakan HAC kami, perjalanan diteruskan dengan menaiki kereta menuju ke pekan Baling.
Tujuan kami ke Baling ialah untuk mendaki Gunung Baling. Bak kata pepatah,
sambil menyelam minum air. Alang-alang kami sudah sampai ke negeri Kedah Darul
Aman, apa salahnya kami berjalan melihat negeri orang.
Jadi kami tiba di pekan
Baling dan menunaikan solat Subuh di masjid di situ. Selesai sarapan, kami
memulakan pendakian pada jam 8 pagi. Pendakian kami memakan masa sejam untuk
sampai ke puncak pertama. Trek pada separuh masa pertama agak santai melalui
laluan hutan dan bertanah. Cuma separuh masa kedua agak mencabar dengan sedikit
pendakian berbatu. Selesai bergambar dan menghirup udara segar ketika di
puncak, kami berjaya turun dan selamat sampai di kaki bukit pada jam 11 pagi.
Perjalanan diteruskan
ke pekan Kuala Nerang untuk check in di Agrofarm Kg. Semeliang. Selepas
perjalanan selama 2 jam, kami sampai di lokasi tersebut. Lokasi agrofarm ini
berada di sebuah kampong kecil yang sangat menenangkan. Jauh dari hiruk pikuk
kota dan Bandar. Di sini terletaknya kandang penternakan rusa, kuda dan burung.
Dalam kawasan agrofarm ini juga, terdapat kawasan lapang yang memang sesuai
dijadikan lokasi melakukan cerapan malam.
Persekitaran Agrofarm. kredit: Izzat |
Arah Selatan dipenuhi ladang kelapa sawit. kredit: Izat |
Kami berehat sementara
menunggu waktu petang. Selepas asar, kami memulakan perjalanan ke Tasik Pedu.
Tasik Pedu tidaklah terlalu jauh dari Kuala Nerang. Hanya setengah jam jika
tidak sesat. Sepanjang perjalanan hanya disajikan dengan pemandangan kampung
dan sawah padi. Apabila tiba di pesisir tasik Pedu, kawasannya memang
terpencil, jauh sekali dari pencemaran cahaya dan udara. Kami bertemu dengan
saudara Amir, tuan rumah Seri Mahawangsa Houseboat yang akan membawa kami
menaiki bot menuju ke houseboat miliknya.
Perjalanan di atas bot
tidaklah lama, hanya memakan masa 10 minit sahaja. Houseboat miliknya kelihatan
simple dan bersih. Suasananya sangat aman. Berada di sini seolah-olah jauh dari
masalah, jauh dari kesibukan kota dan jauh dari dunia luar. Kita juga berada
dekat dan terhubung dengan alam semulajadi. Di sebelah timur hanyalah hutan
belantara yang menjadi sempadan di antara Malaysia dan Thailand. Kami
menghabiskan masa sepanjang malam di sana untuk mencerap milky way.
Saudara Amir pemilik Houseboat. Kredit: izat |
Kredit: izat |
Keadaan cuaca pada
malam itu agak tidak mengizinkan. Awan sekejap datang sekejap pergi. Oleh itu
tidak banyak gambar yang berjaya dirakam. Untuk melakukan astrofotografi di
atas houseboat sangat tidak sesuai. Namun kita boleh pergi ke tepi tasik yang
berdekatan untuk memacakkan tripod, mount dan peralatan astrofotografi.
Malam itu kami berjaya
mencerap milky way dengan mata kasar. Walaupun berada di celah-celah awan.
Summer triangle jelas kelihatan memancar terang. Zuhal dan Marikh juga turut
kelihatan. Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup dari arah hutan belantara menjadikan
atmosfera di Tasik Pedu sangat menenangkan sepanjang malam. Kami menamatkan
cerapan pada jam 1 pagi kerana sudah terlalu penat dan tidak cukup rehat
sepanjang hari tersebut.
Hari kedua kami bermula
di Tasik Pedu, suasana pagi sangat tenang dan sejuk. Ikan-ikan di tasik
menari-nari seperti mengucapkan selamat pagi kepada kami. Bunyi-bunyian dari
hutan belantara seolah-olah menyanyi-nyanyi menyambut pagi yang damai. Kami
bersiap sedia untuk meninggalkan houseboat tersebut selepas bersarapan. Suasana
pagi sepanjang perjalanan pulang dinikmati oleh kami di dalam bot. Cahaya
matahari rendah memancar dari celah-celah hutan belantara. Kami tiba di pesisir
tasik dan akan kembali semula ke Agrofarm.
Kredit: Izat |
Kredit: Izzat |
Misi kedua kami ialah
untuk mengenalpasti keadaan di Agrofarm ketika waktu malam. Sementara menunggu
waktu malam tiba, kami melawat Bandar Alor Setar yang terletak setengah jam
perjalanan dari Agrofarm.
Diringkaskan cerita,
waktu malam tiba di Kuala Nerang. Kami memulakan cerapan pada jam 9 malam.
Suasana malam itu tidak ubah seperti di Tasik Pedu. Berawan dan milky way masih
boleh dirakam dari celah-celah awan. Namun segala-galanya berubah pada jam 1
pagi. Boleh dikatakan awan 90% bebas dan hanya memenuhi ufuk. Galaksi Andromeda
jelas kelihatan dengan mata kasar. Kami cuba melihat dengan binokular dan
bentuk spiralnya sangat jelas kelihatan. Jika teleskop apatah lagi. Milky way
sudah rendah di ufuk dan tidak kelihatan ketika ini. Buruj Cassiopeia jelas
kelihatan di atas rimbunan pepohon. Kawasan utara agak dipenuhi pokok-pokok
sedikit. Kawasan timur juga dipenuhi dengan pokok-pokok getah. Tetapi tidaklah
terlalu dekat dengan kami sehingga mengganggu
kawasan langit timur.
Pokok-pokok di utara
menghalang ufuk utara setinggi 20 darjah, jadi buruj Cassiopeia berada
betul-betul di atas pokok-pokok tersebut. Pokok-pokok getah di kawasan timur
menghalang ufuk timur setinggi 10 darjah. Kawasan barat dan selatan lapang dan
hanya sedikit pokok yang memenuhi. Jadi kawasan di Agrofarm sangat sesuai untuk
melakukan cerapan secara visual dan fotografi. Banyak kawasan yang boleh
dijadikan foreground di dalam imej. Ada sedikit light glow dari arah barat yang
menandakan lokasi Bandar-bandar besar. Pleiades sangat jelas di langit timur
ketika baru naik. Ketujuh-tujuh bintangnya sangat mudah dikenalpasti dengan
mata kasar. Boleh dikatakan bintang-bintang padat dan memenuhi langit malam
pada ketika itu. Kami menamatkan cerapan pada jam 2 pagi selepas awan memenuhi
langit.
Pada keesokan paginya,
kami bertolak pulang ke rumah masing-masing. Kesimpulan yang boleh kami beri
untuk lawatan kali ini ialah Tasik Pedu dan Agrofarm merupakan lokasi yang sangat sesuai untuk
kami jadikan lokasi cerapan dan astrofotografi. Kedua-dua tempat mempunyai
nilainya yang tersendiri. Tempat yang sangat tenang dan sesuai untuk melepaskan
tekanan. Jadi kami menunggu sehingga bulan 3 tahun depan, 2017 untuk menjemput
para ahli astronomi amatur sekalian untuk sama-sama menyertai kami Hoshizora
Astronomy Club (HAC) untuk trip akan datang di Kuala Nerang dan Tasik Pedu.
Houseboat Tasik Pedu: http://serimahawangsaboathouse.blogspot.my/
Sekian.
Terbaikk
ReplyDelete