Credit: Computer science Geek |
1. Sentiasa memandang ke langit. Jika anda keluar pada waktu malam, menunggu bas di perhentian bas, baru pulang dari kerja atau keluar untuk menikmati udara segar, apa salahnya sesekali memandang ke atas. Memerhati setiap bintang yang ada di langit dan menikmati keindahan langit malam.
2. Perhatikan bulan. setiap malam, kedudukan dan fasa bulan sentiasa berubah. Jika anda sentiasa memerhati bulan, anda akan menjadi biasa dengan kedudukan, fasa dan waktu ianya berubah. Bulan juga menjadi kalendar buat kita yang beragama islam. Pandanglah ke bulan dan nikmati keindahannya.
3. Bukan sahaja bulan, malah matahari juga anda perlu perhatikan. Tetapi jangan sesekali melihat matahari secara terus. Perhatikan kedudukan matahari ketika terbit atau terbenam. Jika anda sentiasa memerhati, kedudukan terbit/terbenam matahari sentiasa berubah dalam setahun. Ini selari dengan fenomena solstis dan equinoks. Dari sini akan timbul sifat ingin tahu dalam diri anda.
4. Guna peta bintang. Aktiviti stargazing takkan lengkap tanpa penggunaan peta bintang. Peta bintang boleh diperoleh daripada internet. Bahkan banyak juga apps yang boleh dimuat turun untuk peta bintang ini. Perhatikan buruj, bintang dan planet-planet yang terpapar pada peta bintang anda. Jangan lupa selarikan mengikut masa dan lokasi anda.
5. Gunakan binokular. Anda tidak digalakkan menggunakan teleskop terus untuk aktiviti stargazing. Apa salahnya bermula dengan perlahan-perlahan. Biasakan dengan binokular, memerhati buruj, bintang dan planet. Apabila sudah biasa dengan langit malam dan kedudukannya, barulah anda boleh terus ke teleskop.
6. Cari buruj di langit. Ini aktiviti yang biasa dilakukan oleh pencerap langit malam. Perhatikan bintang-bintang di langit dan bandingkan dengan peta bintang anda. Biasanya peta bintang sudah memaparkan buruj-buruj di langit. Ambil masa anda, tidak perlu terburu-buru. Biasakan diri dengan buruj-buruj, satu hari nanti, tanpa peta bintang pun anda mampu mencari buruj.
7. Menceraplah dari lokasi yang gelap. Lokasi di bandar-bandar besar sangat tidak digalakkan. Pencemaran cahaya yang tinggi menyebabkan kesukaran melihat bintang-bintang. Malah hanya bintang yang terang atau planet sahaja kelihatan. Anda mungkin mengalami kesukaran memerhati buruj-buruj. Carilah lokasi seperti kampung-kampung, tepi pantai, pulau atau mana-mana sahaja yang di luar bandar.
8. Carilah komuniti astronomi. Bukan anda seorang sahaja yang meminati bidang ini, malah begitu ramai sekali. Mempunyai ramai kawan dalam bidang ini membantu anda untuk sentiasa kekal di dalam bidang ini dan berada di landasan yang betul. Dapatkan tips dan nasihat daripada yang berpengalaman dan jangan malu untuk belajar dan bertanya. Walaupun setinggi mana pun ilmu anda, ingatlah anda juga bermula dari bawah satu ketika dahulu.
9. Jadikan langit malam sebagai teman setia anda. Langit malam yang dipenuhi bintang-bintang sentiasa menggamit memori dan perasaan sesiapa sahaja yang menyaksikannya. Boleh mengubat emosi dan perasaan, itulah teman peribadi dan setia anda. Sentiasalah berada di luar pada waktu malam dan waktu lapang.
10. Bersabar. Kadangkala aktiviti ini boleh mencabar kesabaran anda. Cuaca sangat memainkan peranan, lebih-lebih lagi jika tibanya musim tengkujuh. Selagi anda ada minat dan sifat ingin tahu yang tinggi, walau apa cabaran yang datang sekalipun, tidaklah berganjak walau setapak pun.
http://earthsky.org/astronomy-essentials/getting-started-2
No comments:
Post a Comment